Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Baginda bertitah, di samping menjadi agenda penting negara dalam memastikan pembangunan sosio ekonomi yang seimbang dalam pelbagai aspek, aktiviti sukan hendaklah dijadikan sebahagian daripada gaya hidup rakyat yang dapat dilakukan secara individu mahupun berkumpulan.

“Selain menjamin kecergasan fizikal, minda dan kesihatan diri, aktiviti sukan juga menjadi ‘kunci’ kukuh mengeratkan tali silaturrahim serta muhibah dalam memelihara keharmonian negara,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Ke­johanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (Sipma) Kali Ke-6 di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kejohanan dwitahunan itu dikelolakan oleh Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom) bersama Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi membabitkan 994 atlet yang bertanding dalam lapan acara antaranya olahraga, akuatik, hoki, skuasy, bola sepak, tenpin boling dan badminton serta sukan pengenalan iaitu woodball.

Sipma yang berla­ngsung dari 21 November hingga 27 November lalu di­sertai tujuh kontinjen mewakili Maj­lis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum), Majlis Sukan Politeknik (MSP), Maj­lis Sukan Matrikulasi (MSMM), Majlis Sukan IPTS (Masiswa),Maskom dan Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru (MSIPG).

MSSM berjaya dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan diikuti Masum tempat kedua dan Masiswa ketiga.