FAKTOR KESELAMATAN HALANG KHIDMAT KERETAPI GUA KELAM DITERUSKAN - EXCO

KANGAR, 28 Dis (Bernama) -- Keselamatan pengunjung serta faktor kewangan menghalang kerajaan negeri menyambung semula perkhidmatan keretapi di Gua Kelam Dua, Kaki Bukit, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abdul Jamil Saad berkata kajian Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Kerja Raya mendapati struktur dinding gua itu tidak mampu menahan gegaran keretapi.

"Atas faktor ini, selain tiada dana membaik pulih dan mengukuhkan struktur dinding gua itu, kerajaan negeri membuat keputusan tidak menyambung semula perkhidmatan tersebut," katanya.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata walaupun perkhidmatan itu menjadi tarikan pelancong ke Gua Kelam Dua, kerajaan negeri juga tidak mahu mengambil risiko mempertaruhkan keselamatan orang ramai.

Menurut Abdul Jamil perkhidmatan itu terpaksa dihentikan pada pertengahan 2013 selepas hanya tiga tahun beroperasi.

Kos membaik pulih struktur dinding gua itu mencecah jutaan ringgit yang tidak mampu ditanggung kerajaan negeri kecuali mendapat bantuan kerajaan pusat, katanya.

Abdul Jamil mengakui perkhidmatan keretapi Gua Kelam Dua penting untuk menarik kehadiran pelancong ke Perlis.

Sebelum dihentikan, operasi keretapi itu dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Perkhidmatan itu menggunakan dua gerabak untuk membawa maksimum 20 penumpang bagi setiap perjalanan memasuki gua sepanjang 400 meter yang diadakan dua jam sekali.

Selain Gua Kelam Dua, satu lagi Gua Kelam sepanjang 370 meter menembusi kaki Banjaran Nakawan dari Pekan Kaki Bukit ke Kampung Wang Kelian juga merupakan produk pelancongan yang dikunjungi ramai pelancong.