DUN PERLIS LULUS BAJET 2016

KANGAR, 2 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan anggaran belanjawannya bagi tahun 2016 sebanyak RM191 juta.

Daripada anggaran tersebut, sebanyak RM153.72 juta akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus dengan melaksanakan pelbagai program dan penyelenggaraan manakala RM37.28 juta untuk projek pembangunan.

Projek pembangunan yang bakal dilaksanakan melibatkan kemudahan asas, pelancongan, keagamaan, perumahan, pertanian, kesihatan dan bantuan am kepada rakyat miskin.

Semasa membentangkan bajet itu semalam, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri menganggarkan akan menerima hasil sebanyak RM70.28 juta tahun depan melalui hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.

Semasa menyertai perbahasan, Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) antara lain meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada kerja-kerja membersih sungai dan parit dalam kawasan Chuping bagi mengelak banjir kilat yang kerap berlaku.

Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) menyarankan kerajaan negeri perhebatkan usaha bagi meningkatkan mutu sukan di negeri ini.

Nurulhisham Yaakob (BN-Simpang Empat) berharap kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan memberi bantuan benih sayur-sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat petani tempatan.

Chan Min Kai (PKR-Indera Kayangan) mahu kerajaan negeri turut memberi perhatian pendidikan moral terutama golongan belia di negeri ini.

Mohd. Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pula membangkitkan tentang beberapa projek kerajaan yang lama terbengkalai dengan harapan diberi perhatian dan disiapkan segera.

Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) menyarankan kerajaan negeri mencari tapak pelupusan sampah yang lebih sesuai sebagai tempat pembuangan sisa pepejal di negeri ini.

Persidangan dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.