DEWAN: 13 PROJEK DILAKSANA DALAM RANGKA TINDAKAN KORIDOR UTARA PERLIS

KANGAR, 1 Dis (Bernama) -- Tiga belas projek sudah dan sedang dilaksanakan sejak 2008 dalam Rangka Tindakan Koridor Utara Perlis dengan kerjasama kerajaan pusat meliputi sektor logistik, pembuatan, pertanian, pendidikan dan pembangunan modal insan.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata sektor logistik merangkumi tiga projek iaitu menaik taraf terminal kargo kereta api Padang Besar, projek pembangunan Lembah Chuping serta projek Pelabuhan Darat Perlis di Padang Besar.

"Sektor pembuatan melibatkan Projek SuriaKU dengan pemasangan panel solar di setiap bumbung rumah penduduk kurang berkemampuan manakala sektor pertanian melibatkan pembinaan rumah hijau bagi projek tanaman mempelam harumanis.

"Sementara projek pendidikan dan pembangunan modal insan antara lain ialah program mencari pekerjaan melibatkan 3,000 belia yang mengganggur," katanya semasa menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang), Nurulhisham Yaakob (BN-Simpang Empat) dan Chan Ming Kai (PKR-Indera Kayangan) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Datuk Sabry Ahmad semasa menjawab soalan Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) mengenai Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang diperkenal 1 Julai lepas, berkata sehingga 31 Okt, sebanyak 109,904 penumpang menggunakan perkhidmatan itu melibatkan stesen kereta api Arau, Bukit Keteri dan Padang Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abd Jamil Saad pula semasa menjawab pertanyaan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi), memberitahu sehingga Oktober lepas, seramai 284,201 pelancong luar mengunjungi Perlis melalui Padang Besar, manakala 106,401 masuk melalui pintu sempadan Wang Kelian.

Persidangan DUN bersambung esok.