Yusry menghembuskan nafas terakhirnya di dalam kenderaan kira-kira pukul 12.45 tengah malam sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selangor, akibat serangan jantung.

Allahyarham dikatakan mengadu sesak nafas sejurus selesai melakukan persembahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.

Allahyarham pernah menjadi kebanggaan rakyat Perlis apabila dinobatkan sebagai juara program Raja Lawak Astro yang pertama kali diadakan pada 2007.

Abang sulungnya, Jaafar, 53, mengakui masih terkejut dengan kematian adik bongsunya itu selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, Julia, 30, yang berada di Hospital Selayang kira-kira pukul 1 pagi ini.

“Kali terakhir saya bertemu arwah pada dua minggu lepas semasa dia pulang untuk berlakon dalam sebuah drama yang kebetulan penggambarannya di Perlis,” katanya yang reda dengan pemergian adiknya itu.

Jaafar berkata, Yusry yang merupakan seorang pendiam sukar untuk berkongsi masalah termasuk penyakitnya kerana bimbang ahli keluarganya risau.

Katanya, pada dua tahun lepas, Yusry ada menyatakan mengalami masalah kesihatan berkaitan de­ngan jantungnya tetapi tidak pernah memberitahu tahap mana serius.

“Cuma saya agak terkilan kerana arwah sebenarnya sedang mengukuhkan kewangan dan menyimpan duit untuk mendirikan rumah tangga. Begitupun dia tidak mendedahkan gadis pilihan hatinya,” katanya.

Sementara itu rakannya, A­ngah Raja Lawak atau Iskandarsah Hashim, 37, memberitahu, Yusry memang disayangi oleh rakan-rakan seangkatannya dan sentiasa menitikberatkan pemakanan dan kesihatan sejak dua tahun lalu.

“Malah dia selalu berpesan kepada saya ‘jaga pemakanan, jaga kesihatan’ dan perkataan ini yang sering diingatkan kepada saya setiap kali bertemu atau menelefon,” kata Angah.

Angah memberitahu, sekalipun Yusry seorang pelawak tetapi di sisi kehidupan sebenarnya arwah adalah seorang yang pendiam.

Turut memberikan penghormatan terakhir kepada arwah terma­suk rakan seperjuangannya seperti Ajak, Kumpulan Shiro dan Kumpulan R2.

Selain itu, hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Rela Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari.

Ribuan orang ramai terutama para peminat yang datang dari seluruh pelosok negeri ini turut memberi penghormatan terakhir.