Nampak mudah tetapi berisiko tinggi. Maka sebab itu, setiap anggotanya perlu memiliki kemahiran bagi memastikan misi dijalankan sifar kecederaan dan kehilangan nyawa.

Bukan itu, sahaja kemahiran dimiliki perlu diasah menerusi latihan amali dari semasa ke semasa.

Bagi tujuan tersebut, baru-baru ini, satu sesi latihan memindahkan mangsa banjir telah diadakan JPAM Perlis di Empangan Timah Tasoh.

Lebih menarik, latihan turut disertai pihak media bagi melihat secara dekat dan merasai sendiri pengalaman bagaimana menyelamat mangsa-mangsa banjir.

Dalam latihan bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 2 petang, seramai 10 orang media terlibat yang diketuai Presiden Kelab Media Perlis (Kemps), Shahidi Shahidan.

Pihak media diberi peluang mengendalikan bot milik JPAM dengan enjin 25 kuasa kuda seperti mengawal arah bot dan mendayung.

Paling mencabar apabila media mengalami sendiri pengalaman mencemaskan apabila bot dinaiki ‘diterbalikkan’.

Walaupun memakai jaket ke­selamatan dengan dikawal oleh anggota JPAM berpengalaman, namun perasaan cemas tetap ada.

Ini terutamanya ketika beberapa ahli media berada di bawah bot yang terbalik dan terpaksa bernafas di ruang sempit dan gelap di atas permukaan air.

Ketika itu, beberapa ahli media yang gagal mengawal perasaan, menjerit sehingga mencetuskan sedikit suasana panik.

Namun mujurlah kesemuanya dapat keluar dari bot yang terbalik dengan selamat dan menerusi teknik diajar, ahli media dapat mengapungkan semula bot dengan menggunakan tali.

Tidak terhad setakat itu, ahli media juga diajar teknik bagaimana untuk naik semula ke dalam bot dan ia berjaya dilaksanakan dengan baik.

Shahidi dalam ucapannya me­ngalu-alukan program seumpama itu pada masa hadapan kerana boleh merapatkan hubungan kerjasama antara agensi tersebut de­ngan pihak media.

“Kita berharap JPAM dan Kemps dapat bekerjasama dengan lebih erat bagi kebaikan bersama penduduk Perlis," katanya.

Timbalan Pengarah JPAM Perlis, Mejar (PA) Mohd. Farid Ishak ketika ditemui berpuas hati dengan latihan diadakan tersebut dan me­rancang untuk mengadakan lagi program seperti itu.

“Kita mempunyai banyak program latihan yang tidak terhad di dalam air sahaja. Antara lain adalah bagaimana menyediakan makanan dengan cepat dan bersih kepada mangsa banjir yang sudah semestinya memerlukan kemahiran lain,” ujarnya.