SEORANG remaja menunjukkan kolam tempat dua murid SRK Padang Kota lemas di Kampung Baru Syed Omar, angar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, kedua-duanya yang bersahabat baik mati lemas di kolam tersebut yang terbentuk akibat pembinaan sebuah rumah di situ.

Difahamkan, kedua-duanya baru kira-kira 15 minit turun ke kolam tersebut sebelum dilaporkan lemas.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Zaini Talib berkata, berdasarkan maklumat awal, kedua-duanya ada meminta tolong dan jeritan itu didengari oleh penduduk kampung.

Menurutnya, setelah penduduk tiba, kedua-dua mangsa telah lemas dan meninggal dunia di tempat kejadian sebaik sahaja dibawa naik ke daratan.

“Air kolam itu agak dalam kerana hujan lebat sejak beberapa hari ini selain keadaan tebingnya yang berselut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Zaini, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar oleh ambulans ke Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk proses bedah siasat.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kedua-dua mangsa dan memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, usaha pemberita untuk menemu bual ibu kedua-dua mangsa di rumah mayat hospital turut gagal.