Kuala Lumpur: Kemalangan membabitkan motosikal menjadi penyumbang peningkatan kadar kematian kemalangan jalan raya sepanjang Ops Selamat 7/2015.
 
Mengikut rekod yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 155 kematian dicatatkan sehingga semalam dan 94 daripadanya membabitkan penunggang motosikal.
 
Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, polis merekodkan sebanyak 20,257 kes kemalangan jalan raya sejak Ops Selamat ini dilancarkan.
 
Menurutnya, polis turut mengeluarkan sebanyak 106,948 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dan saman paling banyak membabitkan kesalahan memandu laju dengan 53,634 saman.
 
"Sebelum ini polis hanya merekodkan 18 kemalangan setiap hari tetapi ianya meningkat sehingga 22 kemalangan setiap hari.
 
"Polis akan menjalankan kajian terhadap setiap punca kemalangan dan kemalangan paling tinggi membabitkan jalan-jalan persekutuan.
 
"Setiap 10 kemalangan, enam daripadanya adalah penunggang motosikal. Statistik ini sangat luar biasa kerana kemalangan meningkat secara mendadak,"katanya ketika ditemui, sebentar tadi.
Menurutnya, angka ini jelas menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun lalu dan polis akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua pengguna jalanraya mengikuti peraturan yang ditetapkan serta memandu secara berhemah.
 
Katanya, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan pastikan kenderaan mereka juga dalam keadaan baik.
 
--hmetro