PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat Malaysia di luar negara perlu berfikir secara rasional dan tidak mempercayai bulat-bulat berita yang disebarkan dalam media sosial.

Beliau berkata, untuk membina sebuah negara bangsa, rakyat Malaysia di luar negara perlu berfikir secara matang dan bijak menilai dalam membuat kesimpulan masing-masing.

Perdana Menteri memberikan contoh insiden rusuhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada Ahad lalu yang tidak ada kaitan langsung dengan soal perkauman tetapi telah diputarbelitkan sehingga memburukkan lagi keadaan.

"Alhamdulillah, dengan tindakan pantas pihak berkuasa khususnya pihak polis, kita dapat meredakan keadaan dan ia tidak menjadi lebih serius.
"Insiden ini adalah satu peringatan kepada kita semua supaya jangan terima bulat-bulat apa yang disajikan melalui media sosial," katanya ketika mengadakan sidang televideo secara serentak kepada duta dan perwakilan pelajar di tiga negara di kediaman rasminya, Seri Perdana, di sini, hari ini.

Sesi selama sejam itu diadakan bersempena sambutan Aidilfitri, membabitkan wakil dari Beirut (Lubnan), Washington (Amerika Syarikat) dan Brunei Darussalam. Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.

Najib juga berharap semua rakyat Malaysia sama ada bertugas, belajar atau bermastautin di luar negara memainkan peranan untuk menaikkan imej Malaysia di luar negara.

"Gunalah kesempatan ini untuk membina 'networking' (rangkaian) kita di luar negara yang boleh membawa kesan yang baik," katanya.

Perdana Menteri turut berharap pelajar Malaysia di luar negara dapat membina kemampuan minda untuk membuat penilaian yang lebih tepat dalam apa juga keadaan.

"Sebelum kita membuat kesimpulan, kita berfikir dan membuat penilaian tepat supaya dengan cara ini, kita dapat membina sebuah negara bersatu padu, tiada masalah hubungan etnik, tiada kefahaman ekstrem, tetapi bukan terlalu longgar sehingga mengetepikan nilai agama dan budaya kita," katanya.

Sementara itu, Rosmah juga menyarankan pelajar Malaysia di luar negara yang tidak dapat pulang ke tanah air bersempena Aidilfitri untuk menelefon ibu bapa, memohon ampun dan maaf.

"Sebagai seorang ibu, saya berharap anda semua menjadi anak mithali. Tidak kira anda berada di mana, anak mesti sentiasa ingat pada ibu bapa, jangan lupa," katanya sambil berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang.

- BERNAMA