KUALA LUMPUR 15 Julai – Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berja­ya menum­paskan sekumpulan sindiket pemprosesan dadah dan merampas 208.3 kilogram (kg) bahan tersebut yang bernilai RM20 juta dalam lima serbuan di sekitar Dang Wangi dan Ampang Jaya, kelmarin.

Ekoran serbuan tersebut lapan individu berumur 26 hingga 31 tahun ditahan iaitu lima daripadanya merupakan warga Taiwan dengan 206.5 kg dadah jenis Erimin 5 dan 1.8 kg kokain, selain merampas wang tunai berjumlah RM62,940 serta menyita tiga buah kenderaan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bu­kit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif, serbuan tersebut bermula pukul 5.30 petang kelmarin hingga 1.30 pagi semalam selepas mendapat maklumat risikan tentang makmal memproses dadah jenis Erimin 5 di Taman Perindustrian Pandan Indah.

“Serbuan pertama dilakukan di Jalan Tun Razak ketika suspek berada di dalam kereta yang turut mengandungi dadah.

“Selepas itu, kita menyerbu dua stor di deretan rumah kedai berhampiran yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan alat memproses dadah sebelum menahan enam orang yang sedang melakukan kegiatan tersebut. Seorang lagi ditahan selepas menerima maklumat daripada suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar memberitahu, suspek turut menghasilkan pil E5 selepas menemukan satu juta pil tersebut yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Katanya, kesemua mereka direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang bermula hari ini.

Dalam perkemba­ngan berasingan, Mohd. Mokhtar memberita­hu, Jabatan Siasatan Jenayah Nar­kotik Bukit Aman turut berjaya merampas 2,049.32 kg dadah pelbagai jenis yang bernilai RM160.25 juta dalam tempoh Januari hingga 12 Julai lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 98,686 individu ditangkap iaitu 64,961 penagih, 22,694 memiliki dan 10,248 pengedar di samping menahan 3,827 warga asing atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

--utusan