Ucapan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-57 memenuhi laman kebanyakan media sosial hari ini, yang sekali gus mencerminkan kekentalan semangat patriotik rakyat Malasyia, walaupun seluruh negara masih dilanda kepiluan berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan peristiwa Penerbangan MH17 ditembak jatuh baru-baru ini.

Rakyat dari seluruh negara, termasuk menteri, pemimpin dan atlet menggunakan media baharu sebagai saluran untuk mengutuskan ucapan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekan negara kepada rakyat, sahabat handai dan saudara mara masing-masing.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengutuskan ucapan berikut melalui
laman Twitternya kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Semoga rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57 dalam suasana aman
dan makmur. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57 kepada semua rakyat
Malaysia, di sini bemulanya sebuah cinta".

Sementara itu, pemain badminton lelaki nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berkata bersempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, beliau akan berjuang secara habis-habisan dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF yang sedang berlangsung di Denmark.
"Kejohanan Badminton Dunia BWF berlangsung pada Hari Kemerdekaan Ke-57. Saya
akan berjuang habis-habisan untuk Malaysia," katanya melalui Twitter.

Penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin juga mengutus ucap selamat melalui Twitter.
"Selamat Hari Merdeka Ke-57. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

-BERNAMA-