PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DILANGGAR KERETA DI PADANG BESAR

KANGAR, 2 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 30.4, Jalan Kangar-Padang Besar, petang semalam.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar ASP Shamsudin Ali berkata dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, pemandu kereta terbabit dalam perjalanan dari Kangar menghala ke Padang Besar.

"Sampai di lokasi kemalangan, secara tiba-tiba motosikal ditunggangi Shah Rifuddin Abd Mutalib, 18, dari arah bertentangan seperti hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta tersebut.

"Pemandu kereta cuba mengelak ke kiri jalan, namun gagal lalu bertembung dengan motosikal tersebut menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Shamsudin berkata mangsa yang berasal dari Felda Rimba Mas maut akibat cedera parah di beberapa anggota badan dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.

Pemandu kereta berusia 29 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.