150 PELAJAR TAMAT KEM HAFAZAN, MEMBACA JAWI DI MASJID TUANKU SYED PUTRA,PERLIS

KANGAR, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 150 pelajar berumur tujuh higga 14 tahun berjaya menamatkan Kem Hafazan dan Jawi Mega anjuran Biro Wanita Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) di sini, Juimaat. Menurut Pengerusi Biro Wanita MTSPJ, Tuan Marja Tuan Mat program itu berlangsung sepanjang Disember sempena cuti panjang persekolahan hujung tahun 2015. Katanya pelajar-pelajar berkenaan dibimbing cara menghafal ayat-ayat suci al-Quran serta menulis dan membaca tulisan jawi empat kali seminggu dari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari. Beberapa guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) terlatih di Perlis secara sukarela menawarkan diri mengendalikan program itu, kata Tuan Marja kepada Bernama. Beliau berkata program itu dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Al-Imam Al-Shafie, iaitu yayasan yang diasaskan oleh bekas Mufti kerajaan Perlis, Dr Juanda Jaya. Jabatan Mufti Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Penerangan Negeri turut membantu program kali kedua itu yang dibuka kepada pelajar luar Perlis, katanya. Tuan Marja berkata program itu mencapai matlamat apabila banyak pelajar berjaya memperkemaskan hafazan dan membaiki bacaan mereka termasuk menulis jawi. Pengurus Baitulmal Perlis, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada para pelajar terbabit di masjid itu.