SELANGOR DAN PERLIS TERIMA SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI BAHARU BERMULA 4 JAN 2016

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Pengarah Tanah dan Galian Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mulai 4 Jan depan bagi menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang bersara pilihan.

Pengarah Seksyen Keselamatan Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pembangunan Tanah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri Ahmad Zamri Khairuddin pula dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, berkuat kuasa pada tarikh sama.

Dalam satu kenyataan Khamis, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata Mohd Amin, 54, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya.

"Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1989, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, pengurusan ekonomi, pembangunan serta pentadbiran tanah dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata pelantikan Ahmad Zamri, 53, bagi menggantikan Tuan Romli Dai yang dilantik sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan.

"Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari University of Manchester, United Kingdom dan memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1989," katanya.

Ali berkata Ahmad Zamri berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, pengurusan ekonomi, pembangunan serta pentadbiran tanah dan daerah.

"Saya berkeyakinan penuh bahawa kedua-dua pegawai yang dilantik ini akan berkhidmat dengan penuh integriti dan profesional dalam menerajui kepimpinan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Perlis," katanya.