KPDNKK PERLIS PANTAU HARGA BARANG 'KEMPEN KEMBALI KE SEKOLAH'

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis akan memantau harga barang di pasar raya dan kedai yang menyertai 'Kempen Kembali Ke Sekolah' sehingga 4 Jan 2016.

Pegawai Penguatkuasanya, Muhamad Rizab Baharom berkata nama lima premis perniagaan yang menyertai 'Kempen Kembali Ke Sekolah' telah dipamerkan di pejabat KPDNKK Perlis selain laman web rasmi kementerian.

"Pengguna dinasihat untuk memastikan pasar raya terlibat mempunyai kelulusan KPDNKK dan boleh menyemak senarai pasar raya di laman web rasmi kementerian," katanya.

Beliau berkata hanya peniaga yang berdaftar dibenarkan mengadakan 'Kempen Kembali Ke Sekolah' termasuk perlu mempamerkan logo serta nombor kebenaran pada kain rentang sebagai makluman untuk pengguna sepanjang kempen ini.

"Kami akan jalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari sehingga Ahad ini bagi memastikan mereka (pemilik premis) mengikut garis panduan seperti yang telah ditetapkan.

"Jika premis ada buat jualan murah tanpa memohon kepada kami, kami akan kenakan tindakan. Setakat ini tiada lagi premis yang ingkar," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pakaian Zon Ria di sini hari ini.

Muhamad Rizab berkata pasar raya yang menjalankan kempen tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah kesalahan Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan 2010) dan Akta Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 2011 yang membawa hukuman kompaun maksimum sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, ini bagi memastikan kempen yang diadakan benar-benar telus kerana antara syarat yang perlu dipatuhi pasar raya bagi menyertai kempen berkenaan ialah memberikan potongan harga sebanyak 70 peratus.

"Ia merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan pengguna terutama ibu bapa dalam menyediakan pakaian dan alat tulis untuk persekolahan anak-anak sewaktu kos sara hidup makin meningkat," katanya.

Katanya, notis 21 dikeluarkan kepada tiga premis jualan pakaian persekolahan di sekitar Kangar hari ini semasa pemeriksaan dijalankan kerana menaikkan harga barangan persekolahan melebihi harga kawalan.