TIADA PERARAKAN MAULIDUL RASUL DI PERLIS

 


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
KANGAR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri Perlis mengambil keputusan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul seperti yang lazim dilakukan saban tahun, kata Mufti kerajaan negeri, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata sebaliknya acara sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW itu akan digantikan dengan program 'bulan pendidikan' atau percambahan ilmu, katanya.

Hari keputeraan Nabi Muhamad SAW ialah pada 12 Rabiulawal bersamaan dengan 24 Disember akan datang.

Sehubungan itu Mohd Asri meminta pengurusan masjid di seluruh negeri membuat jadual program berkenaan sepanjang bulan Rabiulawal ini.

"Ceramah harus ada kaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW supaya ia menjadi panduan kepada umat Islam," katanya semasa menyampaikan ceramah mingguan beliau di Masjid Alwi di sini, Isnin malam.

Mohd Asri berkata sejarah kelahiran Rasulullah, peperangan, kekeluargaan, sifat serta perbuatan yang ada kaitan sehingga baginda wafat adalah antara perkara-perkara yang boleh menjadi bahan ceramah sepanjang bulan pendidikan itu.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan para pegawai masjid termasuk imam, bilal dan siak supaya sentiasa berdisiplin melaksanakan tanggungjawab kerana mereka dibayar elaun.

"Saya memberi nasihat ini kerana menerima aduan daripada orang ramai yang tidak senang dengan sikap segelintir pegawai masjid seperti lewat datang bertugas dan imam tidak hadir," katanya.