Kehadiran mereka di perkarangan arked berkenaan ternyata mencuri tumpuan orang ramai yang datang untuk membeli-belah apatah lagi ketika cuti umum sempena perayaan Krismas hari ini.

 

Zaril Danish Danial Rosli, 25, yang menjadikan kegiatan itu sebagai kerjaya tetapnya, baru sebulan menjalankan perniagaan berkenaan di situ.

“Syukurlah kerana kehadiran saya dan rakan-rakan setiap hari bermula pukul 3 hingga 6 petang mendapat sambutan terutama semasa musim cuti sekolah ini.

“Orang ramai boleh bergambar dengan kami manakala bayaran seikhlas hati boleh dimasukkan ke dalam bekas disediakan.

“Sebelum ini saya memakai kostum di pelbagai tempat di ibu negara termasuk di The Avenue K dan The Curve, Damansara selama lima tahun sebelum pulang ke kampung di Perlis,” katanya yang berasal dari Kuala Perlis ketika ditemui.

Turut bersamanya ialah dua rakannya yang juga berasal dari negeri ini iaitu Megat Hishamuddin Megat Daud, 31, yang memakai kostum adiwira Kamen Rider dan Noor Izman Ismail, 22, (Spiderman).

Tambah Zaril Danish Da­nial, dia meminati adiwira sejak berusia 15 tahun dan sehingga kini memiliki lebih 20 koleksi kostum dengan ada antaranya berharga antara RM800 hingga RM6,000 sehelai.

“Antara koleksi saya ialah watak-watak dalam Naruto, Spiderman dan Kamen Rider yang saya beli secara atas talian,” katanya.

Tambah Zaril Danish Danial, dia memperoleh pendapatan ti­dak tetap sebanyak RM300 hingga RM400 sehari hasil kerjaya itu.

Bayaran paling tinggi katanya, pernah diterima adalah seba­nyak RM1,000 untuk satu majlis di Kangar baru-baru ini.

Tambahnya, dia mempunyai 10 orang rakan yang menjalankan kerjaya itu sepenuh masa tetapi buat masa ini hanya enam orang yang aktif.