6.7.2019 (Sabtu)-Sebanyak 30 ribu pokok buah tin yang ditanam dikawasan seluas 25 hektar ditapak projek IMT-GT di Lembah Chuping, mampu memberikan pulangan hasil lebih 3 juta ringgit setahun.
Projek yang mula diperkenalkan 2016 kini memberi pulangan maksimum, dengan melonjakkan Perlis sebagai pengeluar terbesar buah berkenaan di Asia Tenggara.
Selain buah tin, ladang berkenaan turut menanam lebih 60 ribu pokok lemon, buah gac dan markisa.
Menurut Pengarah Urusan Syarikat Fig Direct, Robin Lim, keempat-empat jenis buah berkenaan kini mendapat permintaan tinggi, bukan sahaja didalam negara malahan untuk pasaran eksport.
Robin Lim menyatakan demikian ketika menerima lawatan Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii bagi meninjau secara dekat hasil keluaran ladangnya di Chuping, Perlis.
Ladang berkenaan kini mula dibuka untuk kunjungan umum dan berpotensi dijadikan sebagai salah satu tarikan agro pelancongan di Perlis.
Bagi meningkatkan hasil dan memenuhi permintaan pasaran dalam negara, sebuah ladang baru markisa dibuka di Timah Tasoh, Perlis yang berkeluasan 100 ekar dan di Kedah seluas 20 ekar, dijangka mengeluarkan hasilnya penghujung tahun ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Program TV, Norliza Mohd Ali, Pengarah Bahagian Program Radio, Norba’iyah Dato Baharudin dan Pengarah Penyiaran Perlis, Ahmad Zaki Mustafa